Kota Bharu: Kemenangan 3-0 ke atas T-Team menunjukkan The Red Warriors (TRW) menemui rentak sebenar permainan dan dilihat terkeluar daripada masalah prestasi yang membelenggu pasukan gergasi Pantai Timur itu sebelum ini.
Ini diakui pengurus pasukan, Azman Ibrahim, apabila jurulatih, Steve Darby, membuat perubahan formasi dari 3-5-2 kepada 4-4-2 yang terbukti berjaya mencipta dua kemenangan berturut-turut, dengan menumbangkan PKNS FC, 3-2 minggu lalu dan T-Team, malam kelmarin.
Azman yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, melalui formasi itu, semua pemain TRW berjaya membentuk kombinasi terbaik sekali gus menguasai permainan dari setiap sudut.
Perubahan formasi
“Selain perubahan terhadap formasi itu, peningkatan prestasi TRW ini turut dibantu dengan kesungguhan pemain yang berusaha mencipta kemenangan pada setiap perlawanan.
“Rentak kecemerlangan ini harus diteruskan kerana TRW bakal berdepan dengan beberapa pasukan hebat seperti Johor Darul Takzim (JDT), Lions XII dan Pahang pada perlawanan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan antara Kelantan dengan T-Team, malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, jaringan Mohamed Shawky pada minit ke-32, Mohd Badhri Radzi (m-44) dan Mohamad Ghaddar (m-84) mengesahkan kemenangan mutlak milik TRW sekali gus melonjak kedudukan ke tangga kedua Liga Super.
Sementara itu, Steve menyifatkan TRW sudah mendapat rentaknya dan memilih pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sebagai pemain terbaik pada perlawanan itu.






